Karangan yang baik haruslah diolah dengan mengembangkan isi iaitu menghuraikannya sambil mengemukakan bukti atau contoh yang sesuai. Dalam hal ini, kita jarang-jarang mendengar murid menghadapi masalah untuk mendapatkan isi karangan. Namun demikian, kebiasaannya murid menghadapi masalah untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan tersebut. Mereka selalunya menghadapi masalah untuk mengembangkan isi tersebut agar menjadi satu kesatuan idea dalam perenggan-perenggan karangan. Isi tersebut perlu dikembangkan menjadi satu pertautan idea antara satu perenggan dengan perenggan yang lain.
Para pelajar juga selalunya menghadapi masalah untuk menulis karangan yang menepati jumlah perkataan, seperti yang dikehendaki oleh soalan. Kerap kali berlaku, murid-murid menulis karangan yang jumlah perkataannya kurang daripada yang telah ditetapkan oleh soalan. Perenggan karangan juga biasanya tidak seimbang kerana terdapat perenggan yang panjang dan ada pula perenggan yang pendek. Perkara ini berlaku kerana murid-murid tiada teknik atau cara yang boleh membantu mereka untuk mengembangkan isi karangan agar seimbang antara perenggan. Oleh hal yang demikian, membincangkan teknik atau cara-cara perlu untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan.
Untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:
i. Membaca semua soalan
ii. Membuat pemilihan dan perancangan
iii. Menulis karangan
iv. Membuat semakan
Selepas proses pertama dan kedua itu dilakukan, barulah murid menjalankan proses yang ketiga iaitu menulis karangan. Proses menulis karangan akan melibatkan pengolahan dan pengembangan isi karangan yang diperoleh dalam proses yang kedua. Proses inilah yang paling rumit dan mencabar kebolehan, kemahiran dan pengetahuan murid. Oleh hal yang demikian, proses yang ketiga ini perlulah diberikan tumpuan utama kerana markah karangan murid akan ditentukan oleh proses yang ketiga ini.
Teknik Mengolah Karangan dengan Menggunakan Formula
1. Pendahuluan
i. IKCHF (IKCHF- Isi, Kesan, Contoh, Huraian, Fokus soalan)
contoh :
(I) Proses pembentukan tamadun manusia bermula apabila wujud hubungan, iaitu penyesuaian antara manusia dengan alam sekelilingnya. Manusia akan memilih kawasan yang memudahkan mereka menjalani kehidupan harian. (K) Lembah sungai dipilih sebagai lokasi petempatan kekal oleh manusia pada zaman dahulu disebabkan oleh pelbagai manfaat sungai kepada manusia. (C) Antaranya termasuklah sumber air, makanan, pengangkutan dan perhubungan. (H) Hal ini jelas menunjukkan bahawa sungai memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Namun begitu, masalah pencemaran sungai pada masa ini amat membimbangkan. (F) Antara faktor pencemaran sungai adalah seperti berikut;
2. Isi Karangan
i. 5W1H (Apa, Siapa, Mengapa, Bila, Di mana, dan Bagaimana)
Contoh :
(APA) Pembuangan sisa daripada kilang menyebabkan pencemaran sungai. Sisa dari kilang yang tidak dirawat terlebih dahulu akan mengancam kehidupan akuatik di dalam sungai kerana mengandungi bahan kimia yang berbahaya. (BAGAIMANA) Apabila sisa tersebut bercampur dengan air sungai, tahap kebersihan air sungai merosot dan boleh mengundang pelbagai penyakit kepada individu yang menggunakan air dari sumber tersebut. (SIAPA) Justeru, pihak yang bertanggungjawab tidak boleh bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing hanya semata-mata kerana kos pengurusan sisa dari kilang mahu dijimatkan (MENGAPA).
3. Kesimpulan
i. Kena Hati-Hati (Kesimpulan, Hurai, Harapan)
Contoh :
(KESIMPULAN) Konklusinya, sungai memainkan peranan yang begitu penting dalam kehidupan manusia. (HARAPAN) Manusia mestilah merancang setiap aktiviti yang hendak dilakukan dengan baik supaya tidak mengundang kesan negatif kepada alam sekitar. (HURAIAN) Sesungguhnya,alam sekitar merupakan anugerah Tuhan yang perlu dipelihara kebersihan dan keindahannya untuk kebaikan semua hidupan di muka bumi ini.