Karangan adalah satu karya penulisan daripada aktiviti seseorang untuk mendedahkan idea dan menyampaikan melalui tulisan kepada pembaca untuk difahami. Karangan ilmiah adalah laporan tertulis dan diterbitkan yang memaparkan hasil penelitian atau pengkajian yang telah dilakukan oleh seseorang atau sebuah pasukan dengan memenuhi kaedah dan etika keilmuan yang dikukuhkan dan diikuti oleh masyarakat berilmu. Karangan bermaklumat adalah karangan yang mempunyai sasaran penyampaian maklumat secara tepat tentang suatu peristiwa dengan tujuan memperluaskan pengetahuan.
KAEDAH MENULIS KARANGAN
1. Mengetahui kehendak soalan
Pelajar mestilah memilih tajuk karangan terlebih dahulu yang dirasakan dapat dikuasai isi atau faktanya dengan baik; pelajar perlu mengetahui idea pusat karanagan tersebut. Idea pusat adalah perkara atau isi yang ingin dibincangkan, atau idea keseluruhan, atau tema. Pelajar perlu mengetahu kata kunci, iaitu kehendak sesuatu tajuk. Perkara ini untuk memastikan pelajar menulis isi yang tepat dan terelak daripada terpesong isi atau terkeluar daripada objek.
Membina perenggan
Setiap karangan harus mempunyai perenggan-perenggan tertentu. Untuk pendahuluan dan penutup, masing-masing dibina oleh satu perenggan. Untuk isi, jumlah perenggan bergantung kepada jumlah isi utama atau isi besar. Jumlah isi utama yang dianggap memadai untuk sesebuah karangan ialah tiga atau empat.
Satu perenggan hendaklah dibangunkan oleh satu isi utama sahaja. Sekiranya terdapat tiga isi utama, maka jumlah perenggan untuk isi ialah tiga juga. Dengan yang demikian, karangan tersebut biasanya mempunyai lima atau enam perenggan. Pembinaan perenggan yang tersusun menjadikan karangan berkenaan menarik untuk dibaca, malah menggambarkan bahawa pelajar menguasai teknik penulisan yang berkesan. Untuk memudahkan pelajar membina perenggan, pelajar harus menentukan jumlah ayat yang perlu ditulis.
2. Perenggan Pendahuluan
Perenggan pendahuluan memperkenalkan tajuk karangan kepada pembaca. Perenggan ini belum terdapat sebarang isi, tetapi menyatakan hal yang berkait rapat dengannya atau memberi perkenalan kepada tajuk karangan supaya pembaca lebih tertarik untuk membaca perenggan seterusnya.
Pendahuluan boleh dibina dengan tiga hingga lima ayat. Karangan bermula dengan ayat pengenalan. Satu ayat pengenalan dikira sudah memadai. Ayat ini akan membawa pembaca untuk memahami tajuk da nisi secara umum. Ini diikuti oleh dua atau tiga ayat huraian, yang merupakan ayat yang menyokong atau menghuraikan kenyataan dalam ayat pengenalan.
Perenggan ini diakhiri oleh satu ayat fokus yang membawa pembaca secara secara tegas kepada tujuan atau arah karangan, iaitu persoalan yang hendak dibincangkan dalam bahagian isi nanti.
Contoh :
(1) Proses pembentukan tamadun manusia bermula apabila wujud hubungan, iaitu penyesuaian antara manusia dengan alam sekelilingnya. (2) Manusia akan memilih kawasan yang memudahkan mereka menjalani kehidupan harian. Lembah sungai dipilih sebagai lokasi petempatan kekal oleh manusia pada zaman dahulu disebabkan oleh pelbagai manfaat sungai kepada manusia. (3) Antaranya termasuklah sumber air, makanan, pengangkutan dan perhubungan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sungai memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Namun begitu, masalah pencemaran sungai pada masa ini amat membimbangkan. (4) Antara faktor pencemaran sungai adalah seperti berikut;.
Huraian :
Berdasarkan perenggan di atas, ayat (1) merupakan ayat pengenalan. Manakala, ayat (2) hingga (3) merupakan ayat huraian dan ayat (4) merupakan ayat fokus berbentuk persoalan yang memberikan bayangan terhadap tajuk utama iaitu “Punca-punca pencemaran sungai”.
3. Perenggan Isi
Jumlah perenggan isi bergantung kepada jumlah isi utama kerana setiap satu isi dihuraikan dalam satu perenggan supaya karangan lebih kemas dan tersusun. Pembaca juga akan mudah mengenalpasti isi utama da nisi sampingan. Penyusunan isi utama pula disusun mengikut kepentingan yang lebih penting dan dihuraikan dengan jelas.
Setiap perenggan isi boleh dihuraikan dengan lima ayat bermula dengan satu ayat topik iaitu ayat yang menyatakan isi utama. Ayat topik juga boleh diletakkan di tengah atau bahagian akhir perenggan bagi memudahkan pelajar membuat dua hingga empat huraian. Tetapi, ayat topik lebih baik diletakkan ditempat di awal perenggan bagi memudahkan pelajar membuat dua hingga empat huraian. Ayat mengandungi isi sampingan atau sokongan kepada ayat topik dan dimasukkan contoh yang difikirkan sesuai dengan ayat huraian.
Contoh :
(1) Pembuangan sisa daripada kilang menyebabkan pencemaran sungai. (2) Sisa dari kilang yang tidak dirawat terlebih dahulu akan mengancam kehidupan akuatik di dalam sungai kerana mengandungi bahan kimia yang berbahaya. (3) Apabila sisa tersebut bercampur dengan air sungai, tahap kebersihan air sungai merosot dan boleh mengundang pelbagai penyakit kepada individu yang menggunakan air dari sumber tersebut. Justeru, pihak yang bertanggungjawab tidak boleh bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing hanya semata-mata kerana kos pengurusan sisa dari kilang mahu dijimatkan.
Huraian :
Ayat (1) merupakan ayat topik iaitu ayat yang menyatakan isi utamanya, “Pembuangan sisa daripada kilang menyebabkan pencemaran sungai”. Ayat (2) merupakan ayat memberikan contoh bahan kimia dan ayat (3) merupakan huraian atau ayat sampingan.
4. Perenggan penutup
Perenggan ini berfungsi untuk membuat rumusan secara keseluruhan segala idea yang telah dicurahkan dalam perenggan-perenggan sebelumnya. Pelajar boleh membina perenggan ini dengan menggunakan tiga hingga lima ayat. Namun begitu, pelajar tidak dibenarkan untuk mengulang kembali apa yang telah dituliskan dalam perenggan pendahuluan. Terdapat beberapa cara membuat ramalan, pelajar akan mudah menghuraikan kemungkinan yang akan berlaku.
Contoh :
(1) Konklusinya, sungai memainkan peranan yang begitu penting dalam kehidupan manusia. (2) Manusia mestilah merancang setiap aktiviti yang hendak dilakukan dengan baik supaya tidak mengundang kesan negatif kepada alam sekitar. (3) Sesungguhnya,alam sekitar merupakan anugerah Tuhan yang perlu dipelihara kebersihan dan keindahannya untuk kebaikan semua hidupan di muka bumi ini.
Huraian :
Ayat (1) merupakan ayat sampingan dan ayat (2) merupakan ayat topik iaitu ayat yang ingin ditegaskan dalam perenggan penutup. Manakala, ayat (3) juga merupakana ayat sampingan untuk menyokong semula ayat topik.